Saturday, December 10, 2005

Sehari di Rumah Panjang

Tanggal 26 November lalu saya bersama sebuah badan NGO telah berkunjung ke sebuah rumah panjang di kawasan Bintangor lebih kurang 40 minit dari Sibu. Tujuan kunjungan tersebut adalah bagi menjayakan program Berhari Raya (orang Sarawak panggil program ramah tamah / berambeh). Rumah panjang Iban tersebut telah memeluk Islam sekitar tahun 1997. Sebagai seorang yang menggemari kerja-kerja sukarelawan kunjungan ini adalah saat yang ditunggu-tunggu. Ianya bukan hanya untuk merapatkan hubungan silaturahim tetapi yang lebih penting ialah mengenali masyarakat pribumi Sarawak dengan lebih dekat dan mendalam. Rumah panjang yang menempatkan hampir 40 keluarga diketuai oleh seorang ketua yang dipanggil ‘Tuai Rumah’.

Majlis diadakan di ruang tamu yang dipanggil ‘Ruai’. Hampir separuh yang hadir adalah wanita kerana kaum lelaki ada yang pergi bekerja. Upacara dimulai dengan ucapan aluan oleh wakil NGO diikuti oleh tuai rumah. Kemudian kami didendangkan dengan persembahan nasyid oleh anak-anak rumah panjang. Subhanallah ingatkan cuma satu kumpulan rupanya ada 3 kumpulan termasuk yang veteran. Yang menariknya satu kumpulan nasyid remaja yang menggelarkan diri mereka kumpulan 2 in 1 mendendangkan sebuah nasyid kontemporari. Acara seterusnya adalah peraduan mewarna untuk kanak-kanak dan peraduan menulis khat untuk dewasa. Alhamdulillah semuanya berlumba-lumba mengambil bahagian.

Majlis berhenti rehat untuk solat zohor dan disambung semula selepas makan tengahari. Tersentuh hati bila mendengar anak-anak kecil membaca doa makan beramai-ramai. Acara sebelah petang adalah pertandingan membaca fatihah dan azan serta diakhiri dengan acara sukanika. Sebelum penyampaian hadiah satu ceramah agama dalam bahasa Iban telah disampaikan oleh Ustaz Yaakob dari Sibu.

Program hari tu memang cukup bermakna kepada kami dan juga penghuni rumah panjang tersebut. Mudah-mudah Allah menguatkan iman mereka dan melimpahkan kesejahteraan kepada seluruh penghuni rumah panjang tersebut. Amin.

1 comment:

Anonymous said...

Kenak kitak sik madah saghawak? Kitak sidak malaya kah?