Thursday, June 14, 2012

Kawal Nafsu Makan...elakkan kegemukan


Pesakit saya sering bertanya:

“ Dr tolong boleh berikan saya ubat untuk kurangkan nafsu makan?”

Sebenarnya tidak semua masalah kesihatan boleh diselesaikan dengan memakan ubat. Adakalanya masalah boleh diselesaikan dengan cara lain seperti bersenam, mengambil pemakanan yang seimbang  dan menjauhi tabiat tertentu. Bagi menangani permasalahan nafsu makan, ianya adalah sama seperti mengawal nafsu yang lain iaitu dengan cara perlatihan kawalan diri dan bermujahadah .

Kata pepatah:

“Ikut hati…. Mati,
Ikut rasa……binasa,
Ikut nafsu......lesu.”

Kerana nafsu itu adalah umpama lautan yang tidak bertepi dan tiada penghujungnya.

Allah berfirman:

” Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. ”
Surat An Nazi’at 40

Beramallah dengan cara pemakanan Rasulullah saw yang tidak makan sehingga berasa lapar dan berhenti sebelum berasa kenyang.

Sabda Nabi saw:
"Kami adalah kaum yang tidak akan makan kecuali apabila lapar dan apabila kami makan tidak sampai terlalu kenyang." (Hadis Abu Daud)

Dari Miqdam bin Ma’dikarib ra. menyatakan pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Tiada memenuhi anak Adam suatu tempat yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suap yang dapat menegakkan tulang punggungnya. Jika tidak ada cara lain, maka sepertiga (dari perutnya) untuk makanannya, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiganya lagi untuk bernafas.” (Riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim)