Tuesday, February 13, 2007

Dari Sibujaya ke Putrajaya




Sibujaya

Akhirnya aku dipanggil pulang
Pergi meninggalkan bumi kenyalang
Tempat apai dan indai di rumah panjang
Buah Dabai dan Sungai Rajang

Semua yang kukenali terkejut mendengari
Baru tak sampai dua tahun sudah ingin kembali?
Bukankah di sini nyaman sekali
Rukun damai sukar ditandingi

Ketua jururawat yang paling gelisah
Klinik Lanang selepas ini siapa yang akan ambil kisah
Projek kualiti dan inovasi yang kita usahakan berpenat lelah
Masihkah kelak bertahan sampai ke sudah?

Kataku, usahlah kalian tangisi
Patah tumbuh pastinya hilang berganti
Kita masih dapat berhubung melalui TPC
Email, surat dan faksimili

Pesanku pada kalian
Yang baik dariku jadikan ikutan
Yang jahat jadikan sempadan
Semoga klinik ini kan terus mengukir kejayaan

Berat sebenarnya meninggalkan kalian
Budi baik dan segala pemberian
Tak pernah ku dapati selama perkhidmatan
Ku akui Kalian memang warga budiman

Beginilah lumrah kerja dengan kerajaan
Sampai masa dipindah-pindahkan
Gaji tak naik hanya cukup makan
Kalau tak sabar memang dah lama jalan

Namun perpisahan ini pasti ada rahsia
Dari Tuhan yang Maha mencipta
Bakal menguji kesabaran kita
Semoga bertemu di lain masa

Putrajaya

Alangkah gembira pulang ke kota
Yang kita hajati semuanya ada
Laluan bertol dimana-mana
Cuma wang ringgit yang perlu disedia

Keluar kerja jam 6 pagi
Jalan ’jam’ di sana-sini
Semua bergegas nak sampai ke destinasi
Nasib tak baik, masuk wad emergency

Klinik Putrajaya semua berkomputer
Semua warganya pantas bekerja
Senyum manis diukir sentiasa
Supaya ‘complaint’ tak sampai ke meja

Hari pertama melapor diri
Aku Didepan bos apabila telefonnya berbunyi
Rupanya VIP dan pak menteri
Minta ubatnya dipriskripsi

Semua warga klinik sentiasa diperhati
Melalui skrin komputer dan CCTV
Bukan nak melangkau privasi diri
Cuma ingin meningkatkan kualiti

Kualiti kerja sentiasa dipertingkat
Maklumlah klinik sentiasa dikunjungi pelawat
Menjadi tempat rujukan dan minta nasihat
Demi mencapai masyarakat sihat

* Sibujaya adalah penempatan satelit berhampiran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak.