Tuesday, May 30, 2006

Lahirnya Buah Hati Kami



Alhamdulillah tanggal 22 hb Mei lalu kami telah dianugerahkan seorang puteri seberat 4.3 kg melalui pembedahan Cesarean di Hospital Besar Sibu. Setelah lapan tahun berehat kami diberi pilihan sama ada menjalani kelahiran normal atau pembedahan. Memandangkan faktor usia dan jangkaan bayi yang besar, kami akhirnya memilih kelahiran secara pembedahan. Bayi kali ini memang dijangka besar walaupun tidaklah seberat kakaknya Maisarah (4.45kg).

Sudah menjadi adat tinggal di perantauan jauh dari mak ayah dan saudara mara, sayalah terpaksa mengambil alih tugas memasak, membasuh dan mengemas rumah. Mujurlah ada rakan-rakan dan kakitangan klinik yang sudi menjenguk. Semoga menjadi zuriat yang solehah , alimatan dan amilatan. Amen.

Monday, May 08, 2006

Berakhirnya suatu Penantian



Akhirnya jambatan Lanang yang menghubungkan Bandar Sibu dan Sarekei telahpun siap setahun lebih awal dari yang dijadualkan. Ia nya telahpun dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Abdul Taib Mahmud Pada 24 April yang lalu. Dengan siapnya jambatan ini nanti penduduk yang akan ke Sarekei dan seterusnya ke Selatan termasuk Kuching tidak perlu lagi beratur menaiki feri. Beratur menunggu feri kadang-kadang sampai 3-4 jam terutama sewaktu musim perayaan.Walaubagaimanapun selepas ini mungkin terpaksa beratur untuk membayar tol pula. Jambatan ini merupakan laluan bertol kedua di Sarawak setelah jambatan Petrajaya di Kuching. Dengan siapnya jambatan Lanang ini jumlah pesakit ke klinik dijangka akan bertambah ramai.