Monday, June 30, 2008

Majlis Pelancaran 5S Kaizen Klinik Kesihatan Putrajaya


This is my speech during the launching ceremony....


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Y Bhg Dr Ismail Abu Taat, Pengarah Jab Kesihatan Wilayah Persekutuan KL
Y. Bhg. Dr Nora’I Mohd Said, Pakar Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Putrajaya
Y. Bhg En Kasuddin Mohd Yasin, Pakarunding 5S Kaizen
Timbalan-timbalan Kesihatan Negeri,
Wakil-wakil jabatan
Pakar-pakar perubatan keluarga
Pegawai-pegawai perubatan
Dan semua anggota Pejabat Kesihatan dan Klinik Kesihatan dan Pergigian Putrajaya

Pertamanya saya selaku coordinator 5S mewakili Pakar Kesihatan Awam PKPJ ingin mengalu-alukan kedatangan tuan-tuan dan puan-puan sidang hadirin sekalian ke majlis pelancaran 5S Kaizen peringkat PKPJ.

Tuan-tuan dan puan-puan Sidang Hadirin sekalian,

Warga PKPJ dan KKPJ amat komited didalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecemerlangan system penyampaian. Sepanjang 10 tahun beroperasi klinik ini telahpun mengukir banyak kejayaan antaranya:
1. Memenangi Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Selangor 2001
2. Menerima persijilan ISO 9001 sejak tahun 2003
3. Menerima anugerah perdana teknologi maklumat sektor awam 2005
4. Johan Pertandingan Kaunter Farmasi peringkat nasional 2007

Namun disebalik kejayaan dan anugerah yang diterima, kami merasakan pencapaian yang ada masih perlu dipertingkatakan lagi. Justeru itu pihak PKPJ telah bersetuju untuk memperkenal dan mengadaptasi konsep 5S Kaizen sebagai salah satu inisiatif kualiti yang baru pada tahun ini.

Dengan bimbingan pakarunding dari firma Kaizen Integrated, En Kasuddin Mohd Yasin, pihak pengurusan telah mengorak langkah memasuki tahun 2008 dengan mengadakan bengkel pengenalan konsep 5S Kaizen kepada anggota PKPJ dan KKPJ.
Ianya disusuli pula dengan langkah yang lebih serius iaitu melantik ahli jawatankuasa pemandu bagi mengetuai unit-unit promosi, latihan dan audit dalaman. Setiap inci dan setiap sentimeter pelan lantai pejabat dan klinik telah dibahagi-bahagikan kepada zon yang berbeza. Setiap zon pula dipecahkan kepada subzon. Dan setiap zon dan subzon ini mempunyai ketua dan hakmilik masing-masing.

Unit Promosi yang diketuai oleh PPP En Rosman Jonet telah bertungkus lumus mempromosikan 5S Kaizen melalui acara-acara yang pelbagai. Satu pertandingan mencipta logo 5S telah diadakan bagi mencungkil bakat warga kerja, gantungan poster dan kain rentang 5S telah dibuat bagi menyedarkan warga kerja PKPJ dan KKPJ bahawa slogan 5S yang mereka anuti suatu ketika dulu iaitu: Selit, sumbat, sorok, serabut dan selekeh perlu digantikan dengan slogan 5S Kaizen: Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa amal. Buletin 5S telah diterbitkan dan lawatan kerja ke beberapa pusat kecemerlangan 5S iaitu Hospital Kajang dan MBSA telah dilakukan.

Unit Latihan pula yang diketuai oleh Pegawai Farmasi Puan Muslisah telah berusaha sedaya upaya mengumpul dan mengadakan sesi ceramah dan taklimat kepada seluruh warga PKPJ dan KKPJ supaya tidak seorang pun yang tertinggal, bermula dari pihak pengurusan dan pakar perubatan sehinggalah pencuci lantai dan pengawal keselamatan.

Tuan-tuan dan puan-puan sidang hadirin sekalian,

Unit yang paling penting ialah Audit dalaman yang diketuai oleh Dr Suzana Budarto. Bengkel audit telah dilakukan bagi melatih juruaudit mengenai tatacara selok belok pengauditan. Seterusnya audit percubaan dilakukan diikuti dengan audit dalaman yang sebenar yang dilakukan secara berkala. Untuk menyuburkan lagi amalan 5S ini unit audit dengan kerjasama unit promosi telah mengadakan pertandingan antara zon dimana zon yang mendapat markah tertinggi akan menerima piala pusingan sumbangan Dr Nora’i.

Tuan Puan sidang hadirin sekalian,

Sehingga kini tahap kepatuhan dan keakuran 5S Kaizen dikalangan warga PKPJ dan KKPJ adalah sekitar 60-70 %. Sungguhpun begitu program 5S ini telah dapat meningkatkan penghayatan budaya korporat terutamanya di dalam memupuk semangat kerjasama dan berpasukan di kalangan anggota. Ianya juga diharap dapat menjadi pelengkap kepada kemahiran soft skill yang dipupuk melalui Konsep 10S Kejururawatan iaitu: Salam, Senyum,Sopan,Segera,Segak, Sensitif, Sentuh, Selia, Selidik dan Semangat.

Insya Allah dengan berkat kesungguhan dan kegigihan semua warga kerja PKPJ dan KKPJ kami berharap supaya tahap kepatuhan ini dpat mencapai 100% bagi melayakkan kami menerima persijilan 5S peringkat nasional.

Tuan Puan sidang hadirin sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengarah JKWPKL Dr Ismail Abu Taat diatas sokongan yang tidak berbelah bahagi, kepada Dr Nora’I selaku penaung yang sentiasa memberi semangat dan dorongan, kepada En Kasuddin diatas segala ilmu dan tunjuk ajar, kepada S/U saya En Jamal Abd Nasir diatas penat lelah, dan kepada anda semua seluruh warga kerja PKPJ dan KKPJ yang telah memberi kesediaan untuk berubah dan bertungkus lumus menjayakan agenda kualiti ini.

Semoga segala usaha kita diberkati oleh Allah sbnhtaala.
Sekian. Saya sudahi ucpan ini dengan wabillahi taufiq Wassalamualaikum warahmatullah.